KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur merampas dua kereta mewah milik seorang ahli perniagaan dari Kelantan, dari sebuah kediaman elit di Pavillion, Jalan Raja Chulan, di sini, dalam dua serbuan berasingan sejak kelmarin.
Dalam serbuan sama, seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun yang mendakwa dirinya adalah pemandu kereta berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut di lokasi sama kenderaan berkenaan dirampas di tempat letak kereta, Tower B, Pavillion.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata hasil siasatan awal, kereta Roll Royce berwarna emas berharga RM1.6 juta itu didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu dan cukai jalan palsu.
"Selain menggunakan nombor pendaftaran tidak sah dan cukai jalan tidak sah, rekod kenderaan ini juga tiada dalam daftar Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Sehari selepas rampasan Roll Royce, pihak polis kemudian merampas kereta jenis Lamborghini dianggarkan bernilai RM1.8 juta menggunakan nombor pendaftaran G1M5555," katanya pada sidang media di sini, pagi tadi.
Beliau berkata, pihaknya sedang melakukan semakan dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan JPJ untuk mendapatkan pengesahan status kedua-dua kereta berkenaan.
Setakat ini, siasatan dijalankan mengikut Akta Kastam. - Berita Harian